TERMA DAN SYARAT BAKI AKAUN EPIC

TERMA DAN SYARAT BAKI AKAUN EPIC

TERMA DAN SYARAT BAKI AKAUN EPIC

Kemas kini terakhir: 4 Jun 2025

Terma dan Syarat Baki Akaun Epic (“Terma”) ini mentadbir urus akses dan penggunaan perkhidmatan baki prabayar (“Baki Akaun Epic”) yang disediakan oleh Epic (seperti yang ditakrifkan di bawah), dan tertakluk kepada Terma Perkhidmatan Epic Games di https://www.epicgames.com/tos (“Terma Perkhidmatan Epic”), yang dimasukkan sebagai sebahagian daripada Terma ini melalui rujukan. Jika terdapat sebarang percanggahan antara Terma ini dan Terma Perkhidmatan (TOS) Epic, Terma ini akan diguna pakai berhubung dengan akses kepada dan penggunaan Baki Akaun Epic. Terma Perkhidmatan (TOS) Epic merangkumi terma yang mentadbir urus akaun Epic Games anda serta klausa timbang tara yang mengikat dengan penepian tuntutan tindakan kelas, yang jika berkenaan, mungkin menjejaskan hak anda dalam menyelesaikan sebarang pertikaian dengan Epic. PENTING: TOS EPIC MENGANDUNGI PERUNTUKAN TIMBANG TARA DAN PENEPIAN TUNTUTAN TINDAKAN KELAS YANG MEWAJIBKAN ANDA DAN EPIC MENYELESAIKAN SEBARANG PERTIKAIAN MELALUI TIMBANG TARA SECARA INDIVIDU YANG MENGIKAT, DAN MELEPASKAN HAK UNTUK MEMBAWA KES KE MAHKAMAH SECARA INDIVIDU ATAU SEBAGAI SEBAHAGIAN DARIPADA TINDAKAN BERKUMPULAN. DENGAN MEMPERSETUJUI TERMA INI, ANDA DAN EPIC BERSETUJU BAHAWA SEBARANG PERTIKAIAN AKAN DISELESAIKAN MELALUI PROSES TIMBANG TARA INDIVIDU YANG MENGIKAT, SEPERTI YANG DITERANGKAN DALAM TOS EPIC. PERUNTUKAN TIMBANG TARA DAN PENEPIAN TUNTUTAN TINDAKAN KELAS TIDAK TERPAKAI KEPADA ANDA JIKA ANDA MENETAP DI KESATUAN EROPAH.

Sila baca Terma ini (termasuk perubahan peruntukan terma di bawah) dan Terma Perkhidmatan (TOS) Epic dengan teliti sebelum anda mula menggunakan Baki Akaun Epic anda. Juga pastikan anda menyemak syarat lain yang mungkin diguna pakai untuk penggunaan Perkhidmatan Epic tertentu bersama Baki Akaun Epic anda. Istilah “Perkhidmatan Epic” merangkumi semua laman web, gedung, permainan, aplikasi, atau mana-mana produk dan perkhidmatan Epic Games lain yang disediakan kepada anda, termasuk Fortnite, Epic Games Store, atau platform digital milik Epic yang lain.

Dalam Terma ini, “kami”, “milik kami”, atau "Epic" merujuk kepada penyedia Baki Akaun Epic di lokasi tempat tinggal utama anda:

a. Sekiranya anda tinggal di Amerika Syarikat, Epic Games, Inc., sebuah syarikat perbadanan Maryland yang mempunyai pejabat utamanya di Peti Surat 254, 2474 Walnut Street, Cary, North Carolina, 27518, Amerika Syarikat; atau

b. Sekiranya anda tinggal di luar Amerika Syarikat, Epic Games Commerce GmbH, sebuah syarikat Switzerland dengan liabiliti terhad, yang mempunyai pejabat berdaftarnya di Platz 10 6039 Root D4, Switzerland.

dan “anda” atau “milik anda” bermaksud pemegang berdaftar akaun Epic Games.

SEMUA CAJ YANG ANDA TANGGUNG BERHUBUNG DENGAN BAKI AKAUN EPIC DAN SEMUA AMAUN YANG ANDA MASUKKAN KE DALAM BAKI AKAUN EPIC PERLU DIBAYAR TERLEBIH DAHULU DAN KAMI TIDAK MEMBERIKAN PENEBUSAN SUKARELA ATAU PEMBAYARAN BALIK SECARA KESELURUHAN ATAU SEBAHAGIAN, TANPA MENGIRA KAEDAH PEMBAYARAN, KECUALI SEPERTI YANG DINYATAKAN DENGAN JELAS DALAM TERMA-TERMA INI. NAMUN, TIADA APA-APA DALAM TERMA INI AKAN MENJEJASKAN HAK BERKANUN ANDA UNTUK MENDAPATKAN BAYARAN BALIK, WALAUPUN DASAR EPIC MENYATAKAN SEBALIKNYA.

HARAP MAKLUM BAHAWA DARI SEMASA KE SEMASA BAKI AKAUN EPIC ANDA MUNGKIN TIDAK DAPAT DIAKSES ATAU DALAM PROSES PENYELENGGARAAN, DAN PADA MASA TERSEBUT ANDA MUNGKIN TIDAK DAPAT MELIHAT BAKI ANDA, MENAMBAH JUMLAH, ATAU MEMBUAT PEMBELIAN. EPIC AKAN MENGUSAHAKAN SEDAYA UPAYA YANG WAJAR UNTUK MENGURANGKAN MASA HENTI DAN, JIKA BERKEMUNGKINAN, AKAN MEMBERIKAN ANGGARAN MASA PEMULIHAN.


Kelayakan

Untuk mengakses dan menggunakan Baki Akaun Epic, anda mesti mempunyai sambungan Internet yang berfungsi dan akaun Epic Games yang aktif. Sebarang maklumat yang anda berikan kepada kami sebagai sebahagian daripada penggunaan Baki Akaun Epic akan dikendalikan mengikut dasar privasi Epic yang tersedia di https://www.epicgames.com/privacypolicy.


Pengaktifan

Untuk mula menggunakan Baki Akaun Epic anda, anda perlu bersetuju dengan Terma-terma ini. Sebaik sahaja diaktifkan, anda boleh menambah nilai ke Baki Akaun Epic anda, dan menggunakan baki tersebut di Perkhidmatan Epic yang tersedia. Anda hanya boleh membuka, mengakses, dan menggunakan satu Baki Akaun Epic sahaja, dan anda tidak boleh menggunakan Baki Akaun Epic milik orang lain.

Anda boleh menambah nilai ke Baki Akaun Epic anda menggunakan kaedah pembayaran yang disokong oleh Epic (“Kaedah Tambah Nilai”). Epic mempunyai hak mutlak untuk menentukan kaedah Tambah Nilai yang disokong, dan boleh menyahaktifkan mana-mana Kaedah Tambah Nilai pada bila-bila masa. Sebarang jumlah yang anda tambah akan tersedia untuk digunakan serta-merta selepas mana-mana tempoh menunggu atau transaksi yang diperlukan oleh Kaedah Tambah Nilai anda. Sebarang kod promosi yang diberikan kepada anda oleh Epic untuk digunakan sebagai Kaedah Tambah Nilai mungkin tertakluk kepada terma dan syarat tambahan yang berkaitan dengan promosi, tawaran atau kupon. Mana-mana kad hadiah atau kod baucar (“Kad Hadiah”) yang mungkin disediakan oleh Epic untuk penebusan sebagai Kaedah Tambah Nilai akan tertakluk kepada terma dan syarat tambahan yang khusus untuk Kad Hadiah tersebut. Apabila anda menggunakan Kaedah Tambah Nilai, anda menyatakan kepada Epic bahawa anda telah mencapai umur majoriti yang sah di negara tempat tinggal anda dan anda dibenarkn untuk menggunakan Kaedah Tambah Nilai tersebut. Selanjutnya, anda memberi kuasa kepada Epic atau pemproses pembayaran pihak ketiga Epic untuk mengenakan bayaran melalui Kaedah Tambah Nilai anda bagi sebarang baki yang anda pilih untuk ditambahkan bersama-sama dengan sebarang yuran atau caj penukaran yang dikenakan.

Baki yang belum digunakan di dalam Baki Akaun Epic anda tidak akan tamat tempoh. Walau bagaimanapun, amaun promosi seperti kredit atau kupon boleh tamat tempohnya menurut syarat-syarat promosi berkenaan. Melainkan dinyatakan sebaliknya dalam Terma ini, sebaik sahaja Baki Akaun Epic anda ditutup, sebarang baki yang masih ada di dalam akaun mungkin akan disimpan oleh Epic, atau jika ia dianggap harta tak dituntut, ia mungkin akan dilaporkan dan/atau diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang yang terpakai.


Penggunaan Baki Akaun Epic anda

Baki Akaun Epic anda hanya boleh digunakan untuk membuat pembelian dalam Perkhidmatan Epic yang menerima mata wang yang sama dengan Baki Akaun Epic anda. Terdapat produk tertentu yang mungkin tidak boleh dibeli menggunakan Baki Akaun Epic; kami akan berkongsi sebarang makluman terkini di https://www.epicgames.com/account-balance-faq. Jika sesuatu transaksi yang melibatkan Baki Akaun Epic tertakluk kepada sebarang cukai (termasuk cukai jualan, VAT atau cukai tidak langsung lain), Epic juga mungkin akan mengenakan caj cukai tersebut kepada anda. Anda bertanggungjawab untuk semua penggunaan Baki Akaun Epic anda, termasuk semua transaksi yang dibuat oleh anda atau sesiapa sahaja menggunakan Baki Akaun Epic anda. Jika anda membuat permintaan pembelian untuk jumlah yang melebihi baki dalam Baki Akaun Epic anda, bakinya perlu dibayar dengan kaedah pembayaran lain yang tersedia. Sekiranya anda layak menerima bayaran balik bagi pembelian yang dilakukan menggunakan Baki Akaun Epic anda, bayaran balik akan dikembalikan ke Baki Akaun Epic anda untuk jumlah yang sama.

Dalam mana-mana tempoh dua puluh empat (24) jam, jumlah amaun agregat yang disimpan dalam Baki Akaun Epic tidak boleh melebihi USD 500 (atau nilai setara dalam mata wang akaun). Selain itu, jumlah keseluruhan transaksi masuk dan keluar dari Baki Akaun Epic anda tidak boleh melebihi USD 500 (atau nilai setara dalam mata wang akaun) dalam tempoh dua puluh empat (24) jam dan USD 5000 (atau nilai setara dalam mata wang akaun) dalam tempoh dua belas (12) bulan. Syarat-syarat tambahan, termasuk tamatnya tempoh baki, mungkin diguna pakai di sesetengah bidang kuasa. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.epicgames.com/account-balance-faq.

Jumlah Baki Akaun Epic anda dipaparkan dalam mata wang negara akaun Epic Games anda. Sekiranya anda berpindah ke negara kediaman yang lain, sebarang baki dalam Baki Akaun Epic anda sebelum perpindahan mungkin tidak akan dipindahkan. Anda boleh melihat baki dalam Baki Akaun Epic anda dan semua transaksi yang dibuat dari akaun tersebut di https://www.epicgames.com/account/payments pada bila-bila masa.

Baki Akaun Epic tidak membentuk hak milik peribadi dan tidak mempunyai nilai di luar Perkhidmatan Epic. Baki Akaun Epic hanya boleh digunakan di Perkhidmatan Epic yang mengambil bahagian. Selain itu, Baki Akaun Epic bukanlah sejenis akaun bank mahupun akaun pembayaran. Baki Akaun Epic tidak boleh dipindah milik, tidak menjana faedah, dividen atau sebarang bentuk pendapatan lain, bukan merupakan deposit, dan tidak dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Persekutuan atau mana-mana agensi kerajaan, dana jaminan, skim perlindungan atau mekanisme pampasan yang lain. Baki Akaun Epic tidak mempunyai nilai tunai dan tidak boleh ditebus atau ditukar dengan wang tunai, secara keseluruhan atau sebahagian.


Penamatan

Anda boleh meminta supaya Baki Akaun Epic anda ditutup atas apa jua sebab atau tanpa sebab dengan menghubungi khidmat pelanggan di https://www.epicgames.com/help. Sebaik sahaja Baki Akaun Epic anda telah ditutup, anda tidak akan dapat menambah nilai baharu atau menggunakan sebarang baki yang ada dalam Baki Akaun Epic anda. Baki Akaun Epic anda biasanya akan ditutup dalam tempoh satu hari bekerja selepas anda menghubungi kami.

Jika anda melanggar Terma ini, kami boleh menggantung atau menamatkan akaun Epic Games dan/atau Baki Akaun Epic anda dengan notis awal yang munasabah, atau tanpa notis sekiranya terdapat alasan kukuh untuk penamatan. Antara sebab yang dianggap serius termasuklah penyalahgunaan Baki Akaun Epic, pelaksanaan transaksi tanpa kebenaran menggunakan Baki Akaun Epic milik pengguna lain, penggunaan Baki Akaun Epic untuk tujuan penipuan atau aktiviti menyalahi undang-undang lain, penggunaan atau penebusan Kaedah Tambah Nilai atau Kad Hadiah yang diperoleh dengan cara menipu, atau jika anda melakukan pelanggaran serius terhadap Terma ini atau mana-mana terma dan syarat yang berkaitan dengan Perkhidmatan Epic.


Kecurian atau penggunaan tanpa kebenaran

Anda bersetuju untuk tidak menggunakan Baki Akaun Epic anda dalam apa jua cara yang menyalahi undang-undang, mengelirukan atau menipu Epic atau pengguna Perkhidmatan Epic yang lain. Anda bersetuju untuk memberitahu Epic dengan serta-merta tentang sebarang penggunaan atau kecurian yang tidak dibenarkan berkaitan dengan Baki Akaun Epic anda atau sebarang pelanggaran keselamatan lain (dan memberikan bukti bertulis yang sewajarnya jika diminta oleh kami). Epic tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian yang mungkin anda alami akibat tindakan anda atau kegagalan anda untuk bertindak, seperti orang lain menggunakan Baki Akaun Epic anda, sama ada dengan atau tanpa pengetahuan anda. Namun, anda akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang ditanggung oleh Epic sekiranya orang lain menggunakan Baki Akaun Epic anda akibat perbuatan atau kegagalan anda untuk bertindak. Kami berhak untuk membetulkan jumlah baki dalam Baki Akaun Epic anda sekiranya terdapat kesilapan dalam proses pentadbiran, pengebilan, atau perakaunan, atau jika kaedah Tambah Nilai atau Kad Hadiah yang digunakan atau ditebus diperoleh dengan cara menipu. Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai sejarah transaksi anda atau sebarang pembetulan, atau jika anda ingin membantah mana-mana transaksi atau pembetulan yang dikenakan ke atas Baki Akaun Epic anda, sila hubungi sokongan pelanggan di https://www.epicgames.com/help. Kami akan menyiasat dan menyampaikan hasil berkenaan serta membetulkan sebarang kesilapan yang kami sahkan sebaik sahaja kami menyelesaikan siasatan. Sekiranya tiada kesilapan dikesan, kami akan memaklumkan penjelasan kepada anda. Sekiranya terdapat kesilapan dalam bil, sila maklumkan kepada kami dalam masa 60 hari dari tarikh transaksi.


Perubahan dalam Terma

Epic mungkin mengemas kini Terma ini dari semasa ke semasa. Epic akan memaklumkan kepada anda sekiranya terdapat perubahan yang memberi kesan ketara terhadap penggunaan Baki Akaun Epic anda. Sekiranya anda tidak bersetuju dengan perubahan ini, anda boleh menutup Baki Akaun Epic serta-merta tanpa perlu memberi notis. Sekiranya tidak, Epic mungkin membenarkan anda meneruskan penggunaan baki yang ada untuk membuat pembelian sehingga baki habis digunakan sepenuhnya, tetapi anda mungkin tidak boleh menambah nilai baharu sehingga anda menerima dan bersetuju dengan perubahan tersebut. Tiada apa-apa perkara dalam Terma ini yang mengehadkan kuasa Epic dalam membuat perubahan atau mengalih keluar, mengehadkan, menyekat atau sebaliknya menghentikan Baki Akaun Epic di mana-mana wilayah atau rantau sekiranya perlu bagi tujuan pematuhan undang-undang yang berkenaan, untuk menangani risiko keselamatan yang ketara, atau mengelakkan beban ekonomi atau teknikal kebendaan yang serius. Kami akan memberikan notis awal yang munasabah sekiranya kami memutuskan untuk mengalih keluar, mengehadkan dengan ketara, menyekat atau sebaliknya menghentikan penggunaan Baki Akaun Epic dan/atau Kad Hadiah (atau mana-mana bahagiannya) di mana-mana wilayah atau rantau.


Notis kepada Anda

Jika kami perlu memaklumkan anda, termasuk tentang sebarang perubahan dalam Terma ini, kami akan memaklumkan melalui akaun Epic Games anda atau melalui kaedah elektronik lain yang munasabah, termasuk dengan menyiarkan notis di https://www.epicgames.com/account-balance-terms.


Hubungi kami

Untuk maklumat lanjut tentang Baki Akaun Epic, sila rujuk Soalan Lazim di https://www.epicgames.com/account-balance-faq. Jika anda masih mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi kami di https://www.epicgames.com/help.


Penyelesaian pertikaian/Timbang tara yang mengikat

Sebarang pertikaian atau tuntutan yang timbul daripada atau berkaitan dengan Terma ini tertakluk kepada peruntukan mengenai timbang tara yang mengikat dan penepian tuntutan tindakan kelas (perkara ini tidak berkenaan bagi anda sekiranya anda menetap di Kesatuan Eropah), undang-undang yang mentadbir urus, penafian jaminan serta had liabiliti, dan semua peruntukan lain seperti yang dinyatakan dalam Terma Perkhidmatan (TOS) Epic yang boleh diakses di https://www.epicgames.com/tos. Dengan mempersetujui Terma ini, anda juga bersetuju dengan segala peruntukan yang terkandung dalam terma ini.


Pematuhan undang-undang

Anda tidak dibenarkan menggunakan, mengakses, memuat turun, mengeksport, mengeksport semula atau memindahkan Perkhidmatan Epic, termasuk Baki Akaun Epic dan mana-mana Kad Hadiah, sekiranya tindakan tersebut melanggar undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk sekatan ekonomi, larangan perdagangan, kawalan eksport atau sekatan lain yang ditetapkan oleh Jabatan Perbendaharaan atau Jabatan Perdagangan A.S., atau pihak berkuasa kerajaan lain.